PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan peguam korporat Datuk Sreesanthan Eliathamby meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati beliau melakukan dagangan orang dalam membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd pada 2006.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu bagi membolehkan persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh Sreesanthan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.

Antara persoalan undang-undang itu ialah sama ada izin Peguam Negara diperlukan dalam undang-undang apabila Suruhanjaya Sekuriti (SC) memulakan prosiding sivil berhubung kesalahan dagangan orang dalam.

Pada November 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Sreesanthan telah melakukan dagangan orang dalam membabitkan saham Worldwide Holdings Bhd.

Mahkamah Tinggi memerintahkan beliau membayar RM1.99 juta kepada SC iaitu tiga kali ganda nilai keuntungan yang diperoleh hasil dagangan orang dalam.

Beliau juga diarah membayar RM1 juta kepada SC sebagai penalti sivil dan dihalang daripada menjadi pengarah mana-mana syarikat tersenarai selama 10 tahun bermula 18 Nov 2020.

Pada 6 Sept 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu yang menyebabkan Sreesanthan memohon kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Sreesanthan didakwa memperoleh sejumlah 600,000 saham Worldwide antara 7 Jun dan 11 Julai 2006 semasa memiliki maklumat material bukan awam berhubung cadangan penswastaan Worldwide oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Pada masa itu, Sreesanthan adalah rakan kongsi kanan dalam sebuah firma guaman yang terlibat untuk bertindak sebagai penasihat undnag-undang bagi cadangan penswastaan Worldwide.

Pada prosiding hari ini, Sreesanthan diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Gopal Sreenevasan dan Abraham Au manakala SC diwakili peguam SM Shanmugam.