PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberi tempoh sehingga 9 Sept kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memutuskan sama ada meneruskan atau menarik balik rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak sistem visa luar negara (VLN).

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga anggota merangkumi Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk S.M. Komathy Suppiah, membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk menangguhkan perbicaraan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasannya (Ahmad Zahid), yang dijadualkan hari ini.

Dia kemudian menetapkan 9 Sept untuk mendengar rayuan itu.

Hakim Hadhariah bagaimanapun berkata ia adalah penangguhan terakhir dan AGC mesti memberi jawapan kepada representasi Ahmad Zahid.

Terdahulu peguam bela Ahmad Zahid Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon penangguhan pendengaran rayuan dengan mengatakan bahawa dua representasi yang dikemukakan oleh anak guamnya kepada AGC masih menunggu pertimbangan.

“Ia mesti diberi pertimbangan yang adil dan saksama,” kata Hisyam, yang turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa Ahmad Zahid, yang merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, perlu mempengerusikan mesyuarat di Kementeriannya tengah hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memfailkan representasi pertama pada Januari tahun lepas dan representasi kedua pada 7 Feb tahun ini, memohon AGC menimbangkan untuk menarik balik rayuannya.

Seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk mengemukakan jawapan kepada hujahan yang banyak oleh pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Ahmad Zahid untuk menangguhkan pendengaran rayuan kerana mereka (pendakwaan) memerlukan masa yang mencukupi untuk memberi pertimbangan sewajarnya terhadap representasi beliau (Ahmad Zahid).

Hakim Hadhariah memberitahu bahawa beliau menghabiskan beberapa hari untuk membaca rekod rayuan dan nota prosiding Mahkamah Tinggi yang banyak untuk memahami kes itu.

“Ia mencecah lebih 1,000 muka surat. Saya tidak fokus pada kes lain. Memandangkan pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap penangguhan itu, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi,” katanya.

Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak mengemukakan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Presiden Umno itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Dia juga dibicarakan terhadap 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara tahun 2014 dan 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lain, dia didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan US$15,000 untuk dirinya sendiri daripada syarikat yang sama, yang dia tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017. -Bernama