TAWAU: Niat asal untuk memeriksa sebuah bot yang seperti ‘tersadai’ di perairan Kampung Pangi, Kunak sekali gus membantunya sekiranya bot itu mengalami kerosakan, sebaliknya dibalas dengan empat tembakan dari tekong bot.

Menceritakan semula detik kejadian, Bintara Muda Maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zainal Abad Komel, 45, berkata kejadian itu berlaku pantas dan tidak menjangkakan bot yang ditemui itu ialah sebuah bot penjenayah.

“Pada 8.30 pagi, kebiasaannya nelayan balik kampung, lagipun lokasi ini di depan Kampung Pangi, biasa orang kampung balik dari memancing, memukat... bot yang dihampiri dilihat membawa muatan yang ditutupi kanvas.

“Saya merapat ke bot itu, saya lihat suspek mengacu pistol tepat ke muka dan dua das tembakan dilepaskan, tapi saya sempat memaling muka sambil tekan pendikit bot menjauhi bot suspek,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Semalam media melaporkan dua anggota Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Khas Pagar Laut cedera ditembak, selepas menghampiri sebuah bot untuk melakukan pemeriksaan, namun empat das tembakan dilepaskan dari bot berkenaan ke bot maritim.

Ekoran kejadian 8.30 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi di Kunak itu menyebabkan Zainal cedera di mata kiri, manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.

Zainal berkata tembakan kedua itu mengenai bawah mata dan darah memancut keluar.

“Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya, kalau saya elok hari ini, saya nak turun cari balik mereka,” katanya sambil menambah turut reda dengan kecacatan sebelah mata yang dialami.

Zainal yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata insiden itu merupakan kejadian pertama kali dihadapi, sepanjang 19 tahun berkhidmat bersama Maritim Malaysia.

Sementara itu seorang lagi anggota cedera Prayrie berkata ketika kejadian hanya tekong bot sahaja memegang senjata dan melepaskan empat das tembakan ke arah bot maritim.

“Bot itu cuba memecut laju, tetapi saya juga melepaskan lima das tembakan ke arah bot itu, saya nampak dua orang rebah, tetapi saya tidak pasti sama ada rebah sebab terkena tembakan atau mengelak.

“Selepas saya melepaskan tembakan itu, bot (penjenayah) itu berhenti kira-kira dua minit, sebelum ada yang mungkin merangkak dan bot itu memecut laju,” katanya lagi.

Prayrie yang juga cedera di kedua-dua belah tangan berkata bot maritim ketika itu tidak dapat mengejar bot penjenayah berkenaan, kerana faktor air surut.

Dalam kejadian itu empat lagi anggota maritim yang bersama mereka dalam rondaan itu tidak mengalami kecederaan.