KUALA LUMPUR: Usaha polis menjejaki seorang lelaki dikenali dengan nama “Eran Haya” yang didakwa sedang diburu oleh lelaki warga Israel yang ditahan pihak berkuasa 27 Mac lepas bersama-sama enam pucuk senjata api, masih menemukan jalan buntu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (gambar) berkata siasatan yang dilakukan pihaknya di peringkat ini masih tidak dapat mengenal pasti individu terbabit.

“Kita masih mengesan sekiranya wujud (Eran Haya) kerana kenyataan dia (lelaki warga Israel yang ditahan) mengatakan begitu. Polis perlu siasat untuk mengesahkan lelaki yang didakwa itu,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin mengulas laporan The Times Of Israel yang mendakwa lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini Rabu lepas, mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Menurut laporan itu, suspek yang dikenal pasti sebagai Shalom Avitan, dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya, iaitu ketua keluarga kepada kumpulan penjenayah seterunya.

Laporan itu menyebut kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan dan rumah Avitan yang terletak di kejiranan Bavli mewah di Tel Aviv menjadi sasaran bedilan beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh “orang” suruhan Haya.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada pertengahan Mac lepas dan dipercayai sebelum Haya dilaporkan memasuki Malaysia.

Laporan oleh media-media Israel sebelum ini menyatakan bahawa Eran Haya ialah anak lelaki kepada ketua kumpulan penjenayah di negara itu dikenali dengan nama Eitan Haya yang pada 2016 telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah di Tel Aviv.

Dia dikatakan pewaris kepada empayar jenayah yang ditinggalkan oleh bapanya (Eitan Haya) selepas dipenjarakan oleh mahkamah Israel.

Eitan Haya yang juga diberikan gelaran “Israeli Godfather” oleh media dan pihak berkuasa negara itu telah didapati bersalah oleh mahkamah di Israel kerana terlibat dengan pelbagai kegiatan jenayah termasuk peras ugut dan pengubahan wang haram.

Sebelum kembali ke Israel pada 2004 selepas bertahun-tahun tinggal di Amerika Syarikat, Eitan Haya dilaporkan mengetuai kumpulan penjenayah mafia Israel di New York dan pernah menjalani hukuman penjara selama 15 tahun di negara itu atas kesalahan membunuh.

Laporan media Israel turut menyatakan bahawa Eran Haya juga menjalankan kegiatan jenayahnya termasuk membabitkan wang kripto di Afrika Selatan.

Lelaki warga Israel berumur 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lepas dengan menggunakan pasport Perancis.

Enam senjata api yang ditemukan di dalam bilik hotel suspek ialah jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger serta 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya. -Bernama