PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memberikan kebenaran kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Malaysia untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa doktor berhak menggunakan Ivermectin sebagai sebahagian daripada rawatan kepada pesakit.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan KKM dan Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata terdapat merit dalam permohonan itu kerana ia membabitkan isu kesihatan awam dan justeru itu, memenuhi elemen kepentingan awam di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Oleh itu, kami membenarkan kesemua enam persoalan undang-undang yang dibangkitkan didengar dengan lebih lanjut dalam prosiding rayuan,” kata beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hanipah Farikullah.

Antara persoalan perundangan itu ialah penggunaan dan kesan Ivermectin yang belum didaftarkan kerana masih menunggu penyelidikan klinikal lanjut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tanpa jaminan bahawa ia boleh digunakan ke atas manusia atau untuk merawat COVID-19, sama ada ia bertentangan dengan kepentingan keadilan bagi menghalalkan penggunaan Ivermectin terhadap manusia dan dispensasi Ivermectin oleh profesion perubatan yang berdaftar di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952?

Pada 25 Ogos tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit bagi tujuan rawatan perubatan sahaja serta mematuhi Seksyen 19 Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952.

Panel itu turut memutuskan bahawa kes itu bukan bertujuan mengiktiraf Ivermectin sebagai remedi alternatif bagi rawatan COVID-19 sebaliknya mengakui hak pengamal perubatan dalam melaksanakan pertimbangan profesional mereka untuk memberikan ubat-ubatan tergolong dalam Racun Kumpulan B yang merangkumi Ivermectin kepada pesakit masing-masing.

Panel itu yang terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais (kedua-duanya kini Hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Collin Lawrence Sequerah telah membenarkan rayuan dua doktor bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman mereka.

Pada 21 Sept 2021, Presiden Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan Antara Disiplin Malaysia (MAAFIM) Dr Vijaendreh Subramaniam serta Dr Che Amir Farid Che Isahak memfailkan saman pemula terhadap KKM dan Kerajaan Malaysia.

Mereka memohon mahkamah memutuskan tafsiran peruntukan dalam Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun 1952 serta menentukan sama ada pengamal perubatan berdaftar berhak memberikan Ivermectin kepada pesakit.

Pada 14 Jun 2021, sekumpulan pegawai Bahagian Perkhidmatan Farmasi dari Jabatan Kesihatan Selangor telah merampas ubat Ivermectin dari klinik Dr Che Amir Farid.

Peguam Kanan Persekutuan Rahazlan Affandi Abdul Rahim serta Liew Horng Bin mewakili KKM dan Kerajaan Malaysia manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au mewakili kedua-dua doktor pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian.