CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman (gambar) di Ibu Pejabat MCMC di sini, hari ini.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, rakaman percakapan itu dibuat susulan aduan yang diterima pihaknya berhubung kandungan video teaser Hari Raya yang dimuat naik usahawan kosmetik itu, baru-baru ini.

“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ini termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588], yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,“ menurut MCMC.

Menurut MCMC siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 dan jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun, atau kedua-duanya sekali.

“Setelah kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut,“ menurut kenyataan itu.

MCMC juga memaklumkan pegawai penyiasat telah menyita kad sim dipercayai milik suspek serta satu unit telefon bimbit yang digunakan untuk memuat naik video berkenaan bagi membantu siasatan.