ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan pempengaruh media sosial dalam usaha membantu mempromosikan produk tempatan menerusi Karnival Barangan Malaysia (KBM).

Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan KPDN Datuk Rohaizi Bahari berkata kerjasama itu dilihat dapat membantu mengetengahkan produk tempatan terutamanya yang baharu dan masih belum dikenali ramai.

“Kita akan gunakan media sosial baharu seperti TikTok dan Facebook termasuk kerjasama dengan pempengaruh yang ada untuk sama-sama mempromosi dan membuat ulasan terhadap produk tempatan yang ada di KBM.

“KPDN sentiasa komited dalam memastikan produk atau jenama Malaysia dapat diperluaskan ke pasaran tempatan mahupun luar negara dan tidak hanya terhad kepada produk pilihan seperti makanan, minuman serta kecantikan,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Utara di sini hari ini.

Karnival tiga hari bermula hari ini di Aman Central Mall, Alor Setar itu, disertai 20 usahawan dari Zon Utara (Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak) dan ia merupakan antara inisiatif KPDN di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2023 bagi menggalakkan rakyat mengutamakan barangan buatan tempatan.

Sementara itu, pemilik Zes Aneka Idaman Enterprise, Syafiqah Sobri, 35, yang mengusahakan produk makanan seperti kuih, biskut dan kek, berkata penganjuran karnival itu dapat membantu peniaga tempatan memperkenalkan produk mereka kepada orang ramai.

“Ini kali pertama saya menyertai karnival walaupun telah mengusahakan perniagaan sejak 2006. Sebelum ini, saya malu dan takut untuk mempromosikan produk sendiri kerana ia tidak sehebat produk lain, bungkusan kuih pun masih guna plastik biasa.

“Bagi saya, langkah menggunakan pempengaruh media sosial mempromosikan produk tempatan memang bagus kerana mereka sudah ada nama dan lebih berpengalaman,” katanya.

Pengurus Pemasaran Diamond Cosmetics, Nor Haslina Mohd Pisol, 36, pula berkata penganjuran karnival sedemikian dapat membuktikan produk tempatan seperti yang dihasilkan syarikatnya juga berkualiti dan setanding dengan produk besar yang sudah menempah nama di pasaran.

“Saya jual produk kesihatan dan kecantikan sejak 2020, tetapi hingga kini belum begitu dikenali rakyat Malaysia, sedangkan ia sudah mendapat sambutan yang baik di Singapura dan Indonesia. Mungkin dengan bantuan pempengaruh ini kita dapat popularkan produk dengan lebih cepat kerana mereka ramai pengikut di media sosial,” katanya. -Bernama