BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu sebuah pusat hiburan di sini dan menyita karya muzik yang disyaki salinan langgaran serta pelbagai peralatan kesemuanya bernilai RM89,500, semalam.

Pengarah berkenaan S.Jegan (gambar) berkata sepasukan penguat kuasa menyerbu premis tersebut bersama empat wakil hak cipta susulan aduan dan risikan yang dijalankan pihaknya.

“Hasil serbuan menemukan perisian karya muzik dan kita turut menyita set karaoke yang mengandungi beberapa jenis perisian karya muzik disyaki salinan langgaran, mikrofon, amplifier, pembesar suara dan televisyen,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik pusat hiburan itu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987. -Bernama