IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas merampas 4, 415 liter bahan api itu di sebuah stor di Simpang, Hutan Melintang kira-kira 100 kilometer dari sini, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamaluddin Ismail dalam kenyataan berkata serbuan Ops Tiris 3.0 itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak berdasarkan maklumat orang awam serta risikan selama seminggu.

Beliau berkata ketika serbuan terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel di dalam tangki simpanan premis terbabit menggunakan pam penyedut minyak.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan lokasi telah menemukan lapan buah ‘skid tank’ atau tangki penyimpanan yang berisi minyak diesel dianggarkan keseluruhannya berjumlah 4, 415 liter.

“Kita telah menahan dua suspek lelaki tempatan berumur antara 50 hingga 61 tahun iaitu pemandu lori dan pengurus premis berkenaan,“ katanya.

Kamaluddin berkata pihaknya merampas minyak diesel, tiga lori treler dan dua lori tangki, peralatan mengepam minyak serta beberapa dokumen berkaitan yang keseluruhannya dianggar bernilai RM1 juta, selain invois dan resit jualan.

“Modus operandi adalah mereka pergi ke setiap stesen minyak dan membeli minyak bersubsidi menggunakan lori tangki yang diubah suai...dan menjual (minyak itu) kepada pemain industri untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada pengusaha stesen minyak terlibat dalam kes ini,“ katanya.

Beliau berkata siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 itu termasuk mengenal pasti rantaian pengedaran serta sumber diesel tersebut. -Bernama