PUTRAJAYA: Beras yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Dalam satu kenyataan hari ini, KPKM memaklumkan bahawa perkara itu susulan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh yang telah turun ke lokasi kejadian.

“KPKM memandang serius akan isu tular yang berlaku dan telah mengambil langkah segera dengan menjalankan siasatan melalui KPB cawangan Temerloh di lapangan.

“Turut hadir ke lokasi ialah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan lokasi kejadian ialah di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Kuala Krau.

Menurut KPKM, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah dirujuk dengan pihak KPB KPKM.

Kementerian itu menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana perkara berkenaan masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Semalam, tular di media sosial beberapa gambar kampit beras, tin sardin, tepung dan barangan makanan yang dibuang di kawasan pembuangan sampah, sehingga mendapat pelbagai maklum balas negatif daripada warganet.