PUTRAJAYA: Stok fizikal beras negara sehingga kini adalah sebanyak 1,096,964 tan metrik termasuk 290,000 tan metrik stok penimbal beras, iaitu jumlah tersebut adalah stabil dan mampu menampung keperluan bagi tempoh 5.48 bulan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini memberikan jaminan bahawa, bekalan beras sebagai makanan ruji negara di pasaran adalah mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

“Tambahan pula, jumlah stok fizikal beras negara berbanding jumlah penduduk ialah antara yang tertinggi dan terjamin di rantau ini,” menurut kenyataan KPKM.

Ketika ini, pengedaran stok beras putih tempatan (BPT) sedang giat dijalankan dan penurunan harga beras putih import (BPI) di antara RM2 hingga RM3, turut dilaksanakan bagi menampung keperluan pengguna seperti yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), bulan lepas.

Menurut kenyataan KPKM, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras tempatan, khususnya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi dan antara yang dirangka ialah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat, selain daripada makanan ruji negara dan perkara ini merupakan penekanan utama KPKM dalam melaksanakan agenda keterjaminan makanan negara, selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030,” menurut kenyataan itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 16 Jan, dilaporkan berkata Inisiatif Gelombang Padi digerakkan tahun ini bagi mengangkat industri padi dan beras negara ke tahap lebih cekap dan berdaya tahan.

Beliau dilaporkan berkata KPKM menggariskan 12 program untuk dilaksanakan menerusi inisiatif itu, yang merupakan ‘pencetus perubahan’ bagi transformasi industri padi dan beras negara antaranya memperkenalkan dasar baharu Insentif Benih Padi Sah (IBPS).