GUA MUSANG: Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes seorang guru lelaki dipercayai memukul rakan sekerjanya di sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman, Terengganu, Ahad lepas.

Menteri berkaitan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan polis berhubung kes itu.

“Kes itu sedang dalam siasatan dan kita menyerahkan kepada polis dan kementerian akur dengan semua tindakan yang dibuat polis,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text di bawah Program Literasi untuk Murid Orang Asli dan Peribumi di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dilapor berkata guru lelaki terbabit berusia 49 tahun ditahan di sebuah kuarters guru kira-kira 9.30 malam semalam.

Sementara itu, mengulas isu vape menggunakan cecair jenis magic mushroom yang dijual secara berleluasa dan dimiliki dalam kalangan pelajar sekolah, Fadhlina berkata perkara itu dalam perhatian pihaknya.

“Pengarah bahagian sekolah harian juga telah dimaklumkan soal itu dan pihak sekolah telah mengeluarkan garis panduan pengharaman vape di sekolah-sekolah,” katanya sambil menambah ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak mereka.

Tambahnya sekiranya pelajar menghisap dan membawa vape di sekolah, guru-guru boleh mengambil tindakan tetapi di luar sekolah mereka perlu diawasi ibu bapa.