SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda berjumlah RM150,000 ke atas sebuah kilang memproses kelapa sawit di Gemas bagi lapan kesalahan melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tiga tahun lepas.

Hakim Diana Md Razali membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes terhadap Classic Palm Oil Mill Sdn Bhd yang diwakili juruteranya, Hidayah Md Said, 35, selaku orang kena saman (OKS).

Syarikat itu berdepan enam pertuduhan membabitkan pencemaran udara dan alat kawalannya serta dua pertuduhan gagal mematuhi syarat lesen dan semua kesalahan dilakukan di kilangnya di Kampung Tiong antara 12.10 tengah hari hingga 3.10 petang dari 24 Okt 2020 hingga 5 April 2021.

Mahkamah mengenakan hukuman denda RM20,000 bagi setiap kesalahan membabitkan pencemaran udara dan alat kawalannya serta RM15,000 bagi setiap kesalahan gagal mematuhi syarat lesen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan Muhamad Fitri Soroni dan Zainoorliza Zainal Abidin manakala OKS diwakili peguam Joseph Mathews.

Terdahulu, Joseph memohon denda rendah atas alasan syarikat itu memiliki imej baik serta mematuhi undang-undang sepanjang 13 tahun beroperasi dan reputasi itu perlu dikekalkan bagi meneruskan perniagaan dalam industri.

Bagaimanapun, Muhamad Fitri memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana pelepasan asap hitam boleh memberi kesan terhadap alam sekitar, ekosistem dan kesihatan manusia. -Bernama