IPOH: Polis menahan 12 lelaki berusia lingkungan 32 hingga 64 tahun dan merampas 14 ekor ayam yang digunakan dalam kegiatan judi sabung ayam di Kuala Kangsar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,852 dipercayai wang taruhan dalam serbuan yang dijalankan pada 4.45 petang itu.

“Kita turut merampas kelengkapan judi sabung ayam iaitu 20 besi pancang, taji ayam sabung, penimbang elektronik, kelambu dan sangkar ayam serta meja dan kerusi.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk siasatan lanjut dan mereka yang terlibat telah direman selama tiga hari sehingga Rabu depan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/ Seksyen 32 (1) (a) dan Seksyen 32 (2) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015. -Bernama