KOTA BHARU: Hati ibu mana yang tidak gembira selepas menerima perkhabaran berita bahawa anak lelakinya Muhamad Nursyarif Mat Nasir, 28, yang dikhuatiri lemas dekat Pantai Mek Mas, di sini semalam, ditemukan selamat oleh nelayan pagi tadi.

Rosnah Zainal Abdidin, 46 berkata anak ketiga daripada lima beradik itu ditemukan tersangkut di pukat seorang nelayan dari Pantai Geting,Tumpat kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Keadaan Muhamad Nursyarif masih lagi lemah dan tidak bermaya dan dia dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu untuk rawatan selanjutnya.

“Alhamdulillah tiada perkataan yang dapat digambarkan dan bersyukur kerana anak saya masih selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Rosnah berkata Muhamad Nursyarif sempat berkongsi detik cemas yang dialaminya dan memaklumkan bahawa, kaki anaknya itu tersangkut pada pukat yang digunakan untuk menangkap ikan sebelum terjatuh ke dalam laut kira-kira pukul 6 petang, semalam.

“Bot dia dihanyutkan ombak dan tidak sempat untuk berpaut kerana cuba meleraikan ikatan pukat pada kakinya, sehingga terpaksa berenang dan dilambung ombak lebih 16 jam.

“Dia juga ada nampak orang ramai mencarinya malam tadi dan cuba menjerit serta melambai tangan tetapi tiada siapa yang nampak kerana waktu ketika itu sudah gelap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata mangsa, diselamatkan oleh nelayan yang sedang menangkap ikan pada jarak kira-kira lima batu nautika dari lokasi pencarian, di sekitar perairan Tumpat.

“Jumlah keluasan kawasan pencarian sepanjang Op Mencari dan Menyelamat ialah 17 batu nautika persegi, melibatkan sebuah aset laut Maritim Malaysia iaitu Bot Penyelamat 7 dan turut dibantu dua bot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta sebuah bot dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi mencari turut dibantu oleh orang awam daripada Persatuan Nelayan Kota Bharu yang menggerakkan kira-kira 20 bot nelayan bagi membantu mencari mangsa,” katanya.