SIBU: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki memecahkan cermin sebuah ambulans milik Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sebilah parang jenis ‘kwan tao’, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata lelaki berusia 43 tahun itu bertindak sedemikian di sebuah bengkel membaiki penyaman udara kenderaan di sini kira-kira 12 tengah hari.

Beliau berkata pemilik bengkel itu kemudian membuat laporan polis kira-kira 20 minit kemudian sebelum sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu menangkap suspek pada 2 petang.

“Semasa ditahan polis merampas sebilah kerambit daripada tangan lelaki itu dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebilah parang kwan tao di dalam kenderaan dipandunya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine dan polis masih menyiasat punca dia bertindak sedemikian.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. -Bernama