SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Senawang Paroi, Taman Rashidah Utama di sini kira-kira 4 petang ini.

Ketua Balai Bomba Senawang Mohd Nazri Azis berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung insiden sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Viva yang melalui jalan tersebut.

“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati lelaki berusia 48 tahun itu telah meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh pegawai kesihatan. Keadaan kereta itu juga remuk akibat insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata barangan mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok juga sedang giat dijalankan di kawasan tersebut.