PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Rabu menjelaskan bahawa pemberian kontrak perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal bagi MySikap dan Perkakasan & Perisian Sistem Kerangka Utama (Mainframe) untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kepada Heitech Padu Bhd dilaksanakan secara tender terbuka.

Menterinya Anthony Loke Siew Foke (gambar) berkata Heitech Padu memperoleh kontrak tersebut kerana syarikat itu menawarkan harga yang munasabah berjumlah RM185.07 juta dan melepasi kesemua peringkat penilaian.

“Pada 24 Nov, 2023, Lembaga Perolehan MOT telah bersidang dan memperakukan Heitech Padu (daripada tiga syarikat yang mengambil bahagian) sebagai tawaran yang terbaik berdasarkan harga yang munasabah dan terendah yang melepasi kesemua peringkat penilaian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Anggaran harga siling bagi projek itu adalah RM207.31 juta, dan syarikat pembida lain masing-masing menawarkan harga RM186.88 juta dan RM199.51 juta.

Beliau menjelaskan perkara terbabit susulan wujud dakwaan dan sindiran bahawa projek itu ditawarkan kepada Heitech Padu kerana seorang pengarah atau pemilik saham syarikat mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Farhash ialah bekas Setiausaha Politik Anwar dan beliau tidak menjawat sebarang jawatan dan mempunya apa-apa kapasiti dalam kerajaan pada masa ini.

Loke berkata perkara itu telah mendapat perhatian Anwar semasa mesyuarat Kabinet pagi tadi.

Pada 24 Nov, 2023 Lembaga Perolehan MOT memperakui tender kepada Heitech Padu selepas sistem tender terbuka ini dibuat, katanya.

“Perakuan tersebut telah dikemukakan untuk kelulusan muktamad oleh Kementerian Kewangan pada 4 Dis, 2023. Kelulusan Perbendaharaan telah diperolehi pada 8 Feb, 2024 untuk nilai sebanyak RM185 juta (tidak termasuk cukai perkhidmatan).

“Maksudnya, kelulusan ini bukannya semalam. Kelulusan ini telahpun dibuat 2 Feb, 2024 tetapi surat tawaran (setuju terima) hanya dikeluarkan pada 5 April, 2024 oleh JPJ kepada Heitech Padu, selepas beberapa proses dalaman,” tegasnya.

Pada 15 April, 2024, Heitech Padu mengumumkan mengenai tawaran kontrak tersebut menerusi Bursa Malaysia.

Beliau juga menjelaskan bahawa Farhash hanya membeli saham sebanyak 15.9 peratus dalam Heitech Padu pada 16 Mac, 2024.

Justeru, keputusan tender tersebut telahpun dibuat sebelum Farhash membeli saham dalam Heitech Padu, jelasnya.

Loke berkata semasa mesyuarat Kabinet Perdana Menteri menegaskan bahawa selepas Farhash membeli saham Heitech Padu, setakat ini tidak ada sebarang kontrak daripada kerajaan ditawarkan kepada syarikat tersebut.

“Perdana Menteri dan jemaah menteri mengambil perhatian serius terhadap sindiran yang cuba mengaitkan kononnya kontrak ini ditawarkan kepada Heitech Padu kerana ada hubung kait dengan seorang yang rapat dengan Perdana Menteri.

“Jika mana-mana pihak masih tidak berpuas hati, Perdana Menteri mengalu-alukan agar pihak terbabit membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan terperinci boleh diadakan,” katanya.