ALOR SETAR: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik usaha kerajaan Kedah yang mahu menjadikan daerah Sik sebagai hab tanaman padi huma di negeri ini, sebagai langkah alternatif menambah bekalan beras putih tempatan.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh (gambar) berkata usaha itu harus disokong oleh semua pihak kerana ia merupakan pelengkap kepada keseluruhan industri padi terutamanya di negeri ini.

“Cuba bayangkan kita ada padi sawah di dalam dan luar kawasan MADA serta ada padi huma juga, itu sudah pastinya menjadi komplemen antara satu sama lain dan maknanya kita tidak perlu bersaing.

“Saya mahu usaha dan pastikan bahawa kos untuk mengeluarkan padi huma itu dikurangkan lagi kerana sekarang kosnya tinggi dan menyebabkan harganya juga mahal,“ katanya ketika mengulas mengenai usaha kerajaan negeri yang menyasarkan daerah Sik sebagai hab tanaman padi huma di negeri ini.

Beliau juga mengesyorkan supaya lebih banyak kawasan berpontesi padi huma diusahakan di negeri ini.

Selasa lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah melaksanakan inisiatif menanam padi huma dengan memberi tumpuan kepada kawasan tanah terbiar di daerah Sik.

Dalam perkembangan lain, ditanya tindakan MADA berikutan kebimbangan orang ramai mengenai takungan air di Empangan Muda yang dilaporkan berada pada paras bahaya, Dr Ismail berkata sumber air di empangan itu masih mencukupi.

“Sebenarnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai status simpanan sumber air di empangan itu ada bercanggah. Empangan Muda ini di bawah MADA jadi pihak yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan adalah MADA.

“Di Kedah, kita ada tiga empangan iaitu Empangan Muda, Empangan Ahning dan Empangan Pedu. Air di Empangan Muda akan sokong takungan air di Empangan Pedu dan takungan di Empangan Pedu masih berada lebih 70 peratus jadi ia masih boleh bertahan sehingga habis musim ini,“ katanya.

Dr Ismail berkata beliau yakin takungan air di Empangan Muda masih mampu membekalkan air sehingga Jun ini walaupun tiada hujan.

Pada 3 April lalu, JPS menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan Empangan Muda di Sik, merekodkan status simpanan sumber air tahap bahaya setakat kemas kini pada 1 April lalu susulan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.