KUALA LUMPUR: Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2024 tetap mendapat sambutan dengan kehadiran nama besar dalam kelompok 10 terbaik dunia walaupun tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berakhir 28 April ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (gambar) berkata kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 21 hingga 26 Mei itu, akan dihangatkan dengan penyertaan pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark, pemain ketiga dunia dari Indonesia Anthony Sinisuka Ginting dan juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (keenam).

Beliau berkata kejohanan itu dilihat sebagai medan untuk pemanas badan sebelum Olimpik dan bagi menentukan kedudukan pilihan kejohanan (seeding) pada temasya itu.

Katanya perseorangan profesional negara Lee Zii Jia yang turun sebagai pilihan kelapan kejohanan akan mengetuai cabaran 21 pemain negara yang mengambil bahagian dalam kelima-lima acara iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

“Tahun lepas kita ada dua finalis, kita ada Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Pearly Tan-M. Thinaah jadi kita harap tahun ini para pemain akan bangkit dan memenuhi jangkaan peminat,“ katanya selepas sidang media kejohanan itu di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA Datuk Seri Zainal Abidin mengakui kerjasama penganjuran bersama badan induk itu yang memasuki tahun keenam sentiasa ditambah baik setiap tahun bagi memenuhi kehendak serta keperluan semasa.

Zainal turut melahirkan harapan agar pemain negara mampu menggenggam kejuaraan pada kejohanan itu yang dianjurkan di ibu negara dan dihadiri peminat tanah air.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh memaklumkan penjualan tiket kejohanan bermula 8 April lepas dan mendapat sambutan menggalakkan terutamanya tiket tawaran awal (early bird)

“Kami harap lebih banyak peminat akan datang dan dapatkan tiket. Dan saya rasa hari ini hari terakhir untuk pembeli awal. Jadi kalau mahukan tiket murah, sila dapatkan hari ini...Kami sangat berharap lebih ramai peminat akan datang dan menyokong kejohanan ini,“ katanya.