KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia akan menarik balik saman fitnah jenamanya terhadap kumpulan pro-Palestin, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia.

Pengarah Urusannya dan rakan operasi tempatan Datuk Azmir Jaafar berkata saman itu difailkan untuk memastikan kedudukan McDonald's Malaysia mengenai konflik Asia Barat diterangkan dengan jelas.

“ Dengan hasil positif pengantaraan dan penjelasan yang dibuat oleh BDS dalam kenyataan mereka baru-baru ini, mengakui bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel adalah bebas sepenuhnya daripada McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman undang-undang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pihaknya berpendirian teguh untuk tidak menyokong atau terbabit dalam sebarang konflik atau peperangan.

“Selepas beroperasi selama lebih empat dekad di Malaysia dan menjadi perniagaan 100 peratus milik Muslim, kami berbangga menjadi ahli masyarakat setempat serta tidak berbelah bahagi dalam komitmen kami terhadap ketelusan, amalan perniagaan beretika dan tanggungjawab sosial terhadap rakyat Malaysia.

“Kami bersimpati dengan mangsa yang tidak bersalah di Gaza yang terperangkap dalam konflik. McDonald’s Malaysia dengan tegas mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa agar perang berakhir dan keamanan berterusan,” kata Azmir.

Menurutnya syarikat itu kekal komited untuk membantu rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik dengan menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan menganjurkan aktiviti mengumpul dana pekerja untuk terus menyokong usaha bantuan di Gaza.

“ Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak bergerak ke hadapan dan menumpukan usaha mencari resolusi yang menegakkan keadilan,” katanya.

Disember lalu, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, pemegang lesen McDonald's di Malaysia, menuntut BDS Malaysia mewngeluarkan permohonan maaf atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah dan RM6 juta sebagai ganti rugi khas. -Bernama