MEDAC dan agensi serah sumbangan RM700,000 kepada golongan memerlukan di Sarawak

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensinya Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyerahkan sumbangan hampir RM700,000 kepada mangsa banjir dan golongan miskin di Sarawak.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dalam waktu mencabar kini, segala bentuk bantuan daripada semua pihak sangat dialu-alukan untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh mereka yang memerlukan.

“Saya memuji Bank Rakyat dan SKM kerana turut serta dalam program amal ini. Tindakan baik daripada entiti korporat dan organisasi, tanpa mengira bentuk atau nilai sumbangan, pastinya akan membantu memberi perubahan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam program amal bersama ini, SKM telah memberikan bantuan bernilai RM402,500, dalam bentuk wang tunai dan barangan makanan kepada mangsa banjir dan koperasi tempatan yang terjejas banjir baru-baru ini.

Sementara itu, Bank Rakyat pula menyumbangkan barangan sekolah bernilai RM112,000 kepada 700 pelajar miskin di Sarawak yang merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) melalui program Kembali ke Sekolah di seluruh negara.

“Bank Rakyat dan anak syarikatnya Zakat Rakyat Holdings juga menyerahkan zakat bernilai RM21,500 dan RM154,350 kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di kawasan Parlimen Santubong,“ menurut kenyataan itu.

-Bernama