KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini di kebanyakan kawasan di seluruh negara dijangka beransur pulih menjelang pertengahan April.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata ini susulan permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula pada 29 Mac ini dan berterusan hingga Mei, menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku sejak 11 Nov lepas.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata keadaan cuaca berkenaan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Menurutnya orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. -Bernama