KUANTAN: Malaysia International Tourism Expo 2024 Pahang (MIT Pahang) yang dijangka menarik 10,000 pelawat merupakan platform terbaik bagi pemain industri dari dalam dan luar negara mengetengahkan produk pelancongan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata ekspo yang julung kali diadakan di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre di sini pada 8 hingga 10 Okt depan itu, dilihat dapat membantu mempromosikan Malaysia terutama Pahang sebagai destinasi pelancongan.

Beliau berkata industri pelancongan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Pahang apabila lebih 13 juta pelancong direkodkan tiba di negeri itu pada tahun lepas dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM11.89 billion.

“Kami menyasarkan pelawat termasuk pemain industri dari dalam dan luar negara untuk menyertai ekspo ini yang mampu menjadikan Pahang khususnya Kuantan sebagai hab pertemuan pemain industri.

“Selain itu, ekspo ini juga menyediakan platform perniagaan ke perniagaan (B2B) kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung serta memupuk kerjasama,” katanya pada sidang media di pejabat Tourism Pahang di sini hari ini.

Sepanjang ekspo bertaraf antarabangsa itu, Leong berkata pemain industri berpeluang menyertai seminar bagi membincangkan isu pelancongan daripada pakar industri pelbagai negara selain sesi B2B yang memudahkan rangkaian serta interaksi perniagaan dalam kalangan pembeli dan penjual produk pelancongan.

Beliau berkata mereka yang berminat menyertai ekspo anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan dan pelancongan itu boleh mendapatkan maklumat lanjut di https://mit-pahang.com atau menghubungi 09-5681624 dan e-mel mitpahang@gmail.com.