KUALA LUMPUR: Pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan telah membantu memperkukuh lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia, kata Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menerusi hantaran di laman rasmi media sosial ‘X’ hari ini berkata antara pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan termasuklah pengurangan defisit, subsidi bersasar serta Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) yang mengetuai delegasi Malaysia ke New York, Amerika Syarikat (AS) dari 14 hingga 16 April telah bertemu pelbagai pelabur antarabangsa, pengurus dana dan bank pelaburan untuk berkongsi pandangan tentang kedudukan ekonomi semasa Malaysia dan rancangan kerajaan.

Delegasi tersebut turut disertai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

“Semasa sesi dialog dengan pelabur pasaran kewangan dan modal, beliau (Amir Hamzah) telah berkongsi perkara penting Kerangka Ekonomi MADANI dan bagaimana kerangka ini akan mendorong Malaysia menjadi destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global,” kata MoF.

Mesyuarat bersama pelabur tersebut diadakan bersempena dengan kehadiran Amir Hamzah di Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2024 di Washington DC, AS dari 17 April sehingga 19 April.

Semasa sesi libat urus bersama para pelabur di New York beliau telah bertemu dengan kira-kira 50 pelabur global dalam pelbagai bidang industri dan perniagaan.

Sesi tersebut penting bagi memberi penjelasan mengenai perkembangan dasar utama kerajaan termasuk pembaharuan fiskal untuk memastikan kemampanan fiskal dan hutang negara.