KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa agar semua pihak dapat memainkan peranan bersama dalam membantu mengukuhkan nilai ringgit, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu menjelaskan semua rakyat Malaysia digalakkan mengamalkan sikap Malaysia First dalam amalan harian.

“Ini termasuk membeli barangan domestik, serta melabur dalam pasaran modal domestik. Kempen melancong di dalam negara juga perlu diperkenalkan dan ditingkatkan,” menurutnya pada Isnin.

MOF menjelaskan sedemikian bagi menjawan soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah konkrit yang diambil oleh kepimpinan negara dalam kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan daya tahan dan daya saing nilai mata wang ringgit.

Kementerian itu menekankan bahawa kerajaan memandang serius prestasi nilai ringgit dan komited untuk mempertahankan serta memperkukuh kedudukan ringgit.

Oleh yang demikian, pelbagai langkah konkrit telah dan sedang diambil oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menangani kejatuhan nilai ringgit, menurut MOF.

Kementerian itu memaklumkan antara langkah yanhg dilaksanakan adalah memastikan pasaran pertukaran asing di dalam negara kekal teratur selain memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport.

Selain itu, kerajaan dan BNM turut mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk aliran dana ke pasaran pertukaran mata wang asing di samping mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat swasta termasuk menggalakkan mereka mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara baharu, jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai usaha kerajaan untuk menangani secara holistik isu kejatuhan ringgit dan kesannya kepada urus niaga import yang menyebabkan kenaikan harga barangan kepada pengguna, MOF menjelaskan kerajaan mengakui impak penyusutan nilai ringgit adalah lebih tinggi terhadap barangan import.

Perkara itu termasuk makanan yang merangkumi daging dan tenusu, ikan dan makanan laut, buah-buahan serta sayur-sayuran, tambahnya.

“Namun, harga komoditi global yang menyederhana sedikit sebanyak membendung sebahagian kesan penurunan nilai ringgit terhadap inflasi,” jelasnya.

MOF memaklumkan bahawa kerajaan juga merancang langkah pelaksanaan pemberian subsidi yang lebih berkesan dan bantuan pendapatan bersasar terutama bagi membantu golongan yang terjejas.

“Ini akan memastikan pengukuhan fiskal dapat dicapai melalui perbelanjaan yang lebih produktif,” menurut MOF. -Bernama