KUALA LUMPUR: Media memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memperkenalkan produk pelancongan negara, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Beliau berkata media melalui berita dan kandunganya boleh memberi kelebihan kepada sektor pelancongan negara yang perlu bersaing dengan negara-negara jiran yang giat melaksanakan pengiklanan bagi menarik pelancong ke negara masing-masing.

“Kami (MOTAC) sangat memerlukan media untuk mempromosikan produk pelancongan di dalam dan luar negara. Kita perlu memperkenalkan produk-produk kita supaya orang luar tahu apa yang mereka boleh tengok, rasa dan alami di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Shaharuddin yang mewakili kementeriannya berkata kunjungan bertujuan mengeratkan hubungan antara MOTAC dan Bernama selain berbincang mengenai perkhidmatan ditawarkan agensi berita itu yang boleh diguna pakai untuk membantu mengiklankan produk pelancongan.

Sempena kunjungan tersebut, Shaharuddin bersama barisan kepimpinan MOTAC mengadakan mesyuarat bersama pengurusan Bernama yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Nur-ul Afida Kamaludin yang turut disertai Ketua Pengarang D. Arul Rajoo.

Barisan kepimpinan MOTAC juga berkesempatan melawat dan mempelajari pengoperasian Bernama Radio, Bernama TV dan Meja Digital Media.