IPOH: Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) sedia melaksanakan kajian berhubung cadangan penduduk Kampung Baru Palawan dekat Langkap supaya ‘jalan tikus’ di Ladang Bikam dijadikan jalan raya baharu sebagai alternatif untuk pengguna sekiranya Lebuhraya Utara-Selatan terlalu sesak.

Ahli Majlis MPTI A.Sri Murugan berkata setakat ini pihaknya hanya menerima cadangan secara lisan daripada ketua kampung berkenaan.

“Sekiranya ada permohonan secara bertulis, MPTI akan memanjangkan cadangan projek itu kepada Jabatan Kerja Raya, kerana laluan itu berada di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan, dan ada juga sebahagiannya milik persendirian.

“Laluan alternatif secara rasmi di kawasan itu perlu melibatkan banyak pihak termasuk exco kerajaan negeri dan pegawai daerah serta memerlukan persetujuan ramai,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata MPTI pula akan melakukan kajian dari segi kos yang diperlukan bagi melaksanakan projek berkenaan dan ia boleh dilaksanakan sekiranya ada peruntukkan yang mencukupi.

Rabu lepas media mengetengahkan cadangan beberapa penduduk agar laluan tikus di kawasan berkenaan yang dibuka oleh penduduk sekitar kawasan itu susulan kesesakan Lebuhraya Utara-Selatan di hujung hari cuti sempena Hari Raya Aidilfitri lepas, supaya laluan itu terus dijadikan sebagai laluan alternatif.

Terdahulu Bernama melaporkan perkongsian Zairul Annuar Mohd Zain, 47, yang videonya menggunakan jalan tikus di Ladang Bikam ketika menuju ke Kuala Lumpur untuk pulang ke Nilai, Negeri Sembilan pada 13 April tular di media sosial.

Ketika kejadian Zairul Annuar dan isteri serta anak berusia 17 tahun yang sedang dalam perjalanan pulang ke Nilai setelah beberapa hari berhari raya di rumah seorang saudara di Ipoh sejak 2 Syawal, cuba untuk mengikuti laluan alternatif yang dicadangkan satu aplikasi dari Gopeng ke Ladang Bikam, ekoran keadaan lebuh raya yang sesak.

Menurut catatan Zairul Annuar sekumpulan lelaki menyuruh mereka menunggu sebentar, sementara kumpulan lelaki itu menggunakan sebuah jentera untuk mengorek dan meratakan jalan agak berbukit sehingga rata dan boleh dilalui kenderaan yang sedang menunggu.

Zairul Annuar yang telah dua tahun menetap di Indonesia pulang berhari raya ke Malaysia sejak 1 Syawal lepas berkata, dia berkongsi kisah itu di Facebooknya kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada kumpulan lelaki berkenaan.

Video berdurasi satu minit 10 saat dikongsi Zairul Annuar di laman Facebooknya memaparkan perjalanan bersama keluarga melalui ‘jalan tikus’ dari Gopeng ke Ladang Bikam, Perak, yang dibantu oleh sekumpulan penduduk berbangsa Cina yang sanggup bergotong-royong membantunya dan pengguna lain pulang berhari raya.