SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) menerusi MSU Medical Centre (MSUMC) melancarkan program Health Equity For Affordable and Rapid Treatment (HEART) bagi memperkasakan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada golongan B40.

Program dengan kerjasama Kementerian Kesihatan itu menyaksikan MSUMC berperanan sebagai hospital kluster dan buffer zone kepada Hospital Shah Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Sultan Idris Shah Serdang dalam menangani kes-kes tertentu yang memerlukan pembedahan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata HEART merupakan inisiatif kerjasama awam – swasta yang amat baik dalam menawarkan akses perkhidmatan lebih luas terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

“HEART merupakan program yang sangat baik dalam membantu usaha kerajaan meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan membabitkan kes-kes tertentu khususnya melalui kerjasama pihak swasta.

“Selain akses lebih luas, program ini juga membantu mengurangkan waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan bagi kes-kes tertentu kesihatan di hospital awam yang biasanya boleh mencapai antara enam hingga sembilan bulan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan HEART di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Dzulkefly berkata program yang bermula secara rasmi pada 18 Mac lepas itu juga memberi manfaat secara tidak langsung kepada kementerian dalam memanfaatkan sepenuhnya penggunaan dewan pembedahan hospital terlibat kepada kes-kes kecemasan secara optimum.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata program yang turut melibatkan kerjasama Yayasan MSU itu menyasarkan memberi rawatan kepada 50 pesakit sebulan dan kerjasama strategik itu akan membolehkan golongan sasar mendapat manfaat dalam aspek penjagaan kesihatan berkualiti, canggih serta terkini.

Beliau berkata antara perkhidmatan pembedahan percuma yang disediakan melalui program itu ialah Inguinal Hernia repair Procedure dan Laparoscopic Cholecystectomy.

“Selain itu, perkhidmatan kesihatan lain yang ditawarkan ialah penginapan wad kelas pertama, tempoh menunggu yang lebih singkat serta perlindungan daripada kos-kos pembedahan yang lain,“ katanya dan menambah sejak diperkenal, sebanyak 16 pembedahan telah dilakukan menerusi inisiatif HEART.