KUALA TERENGGANU: Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) hari ini melancarkan perkhidmatan sistem pembayaran tiket tanpa tunai menggunakan kod QR bagi kemudahan pengunjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil yang juga Pengerusi LMNT berkata kaedah itu diperkenalkan seiring dengan perkembangan digitalisasi dan permintaan oleh pelancong luar yang lebih selesa dengan kaedah pembayaran tanpa tunai.

“Sistem pembayaran tanpa tunai ini adalah titik permulaan untuk LMNT melangkah seiring dengan era digitalisasi. Ia telah digunakan dengan meluas di seluruh dunia.

“Sudah sampai masanya untuk LMNT terlibat secara serius dalam dunia digitalisasi termasuk mengadakan pameran dalam bentuk digital sebagai pembaharuan dan nilai tambah institusi,“ katanya selepas melancarkan sistem pembayaran tanpa tunai LMNT di sini, hari ini.

Tengku Farok Hussin berkata kemudahan itu diharap dapat meningkatkan jumlah pengunjung yang kini mencecah 1,000 orang sehari pada hari biasa dan meningkat kepada 4,000 orang sehari pada musim cuti.

Menurut beliau harga tiket yang dikenakan juga cukup rendah iaitu RM5 bagi orang dewasa, kanak-kanak (RM2), dewasa bukan warganegara (RM15), kanak-kanak bukan warganegara (RM10) dan pelajar sekolah beruniform (RM1).

“Hari ini kita turut menerima sumbangan enam kerusi roda daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan pengunjung LMNT yang uzur.

“Diharap kemudahan ini dapat menggalakkan kedatangan pengunjung dan memberi keselesaan kepada mereka,“ katanya.