MANJUNG: Jasad Leftenan T. Sivasutan, 31, yang terkorban dalam tragedi dua helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, selamat disemadikan di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Kampung Serdang Sitiawan di sini tengah hari tadi.

Terdahulu, keluarga mendiang mengadakan upacara sembahyang mengikut agama Hindu di kediaman mereka di Taman Serdang Jaya, Sitiawan bermula kira-kira 9 pagi.

Sekitar 10.30 pagi, keranda yang dibaluti ensign atau panji TLDM diusung sembilan pegawai TLDM termasuk seorang jurupandu menuju ke van yang membawa keranda tersebut ke pusat krematorium berkenaan.

Pada masa sama, seramai 14 anggota dari Markas Pangkalan Lumut berpakaian seragam dan senjata melakukan kawalan kehormat sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang Sivasutan.

Timbalan Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Harisundar Rajoo kemudian menyerahkan ensign kepada ibu mendiang R. Paramesvary, 60.

Usai upacara itu, jasad mendiang dibawa ke Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram, dengan diiringi polis dan warga TLDM.

Setibanya di pusat krematorium itu kira-kira 11.30 pagi, sekali lagi kawalan kehormat oleh anggota TLDM dilakukan sebelum ahli keluarga melakukan upacara sembahyang.

Sivasutan yang berkhidmat sebagai juruterbang meninggalkan isteri Dr S. Harshini, 30.

Dalam kejadian dua hari lepas, 10 anggota dan pegawai TLDM maut selepas dua helikopter terhempas semasa menjalani latihan lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut di sini.