PETALING JAYA: Pasukan berkedudukan ke-80 dunia, Oman mahu kemenangan kedua ke atas Malaysia, apabila kedua pasukan itu bertemu pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Selepas mengalahkan Harimau Malaya 2-0 pada perlawanan di Muscat, pada Jumaat (waktu Malaysia) Ketua Jurulatih Oman Jaroslav Silhavy (gambar) melahirkan keyakinan, untuk pasukannya menang sekali lagi walaupun menyedari cabaran bermain di tempat lawan.

“Kami berharap untuk mendapat keputusan yang sama seperti di Oman, tetapi kami tahu Malaysia sebuah pasukan yang teratur, mereka bermain di laman sendiri dan ia satu cabaran untuk kami untuk menang dan kami juga rindukan penyokong kami.

“Namun kami tidak begitu risaukan perlawanan itu, kerana kami hanya memfokuskan kepada pasukan kami dan bermain untuk menang,” katanya pada sidang media praperlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Silhavy berkata beliau percaya pasukannya akan dapat menyerap tekanan daripada penyokong tuan rumah dan melakukan tugas mereka untuk membawa pulang tiga mata.

“Kami percaya dengan pemain, kami bersedia dengan baik dan mereka (pemain) tahu banyak perkara mengenai pasukan Malaysia,” katanya.

Sementara itu pemain Oman Ali Al-Busaidi juga menyatakan keyakinannya, bahawa kemenangan akan berpihak kepada Red Warriors malam esok, walau apapun keadaannya.

“Kami di sini untuk menang, kerana kami mahu kekal pada kedudukan teratas kumpulanm jadi kami kena menang dan kami akan lakukannya, apapun kami akan menang. Tentunya kami hormati Malaysia, mereka ada pemain yang bagus, tetapi kami ada jurulatih yang tahu semuanya, beliau tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Malaysia,” kata pemain tengah berusia 33 tahun itu.

Selepas tiga perlawanan Kumpulan D, perbezaan gol menjadi pemisah kedudukan tiga kumpulan teratas, dengan Oman di tempat pertama, Kyrgyzstan kedua dan Malaysia di tempat ketiga, walaupun masing-masing dengan tiga mata, manakala Taiwan kekal tanpa mata.

Selepas Oman, Malaysia akan berhadapan Kyrgyzstan (ke-104 dunia) di Bishkek pada 6 Jun sebelum melengkapkan perlawanan Kumpulan D mereka, berhadapan Taiwan (ke-153 dunia) di Bukit Jalil. -Bernama