JOHOR BAHRU: Johor menerima RM113.7 bilion pelaburan dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan dalam tempoh kira-kira dua tahun lepas, sekali gus menyaksikan negeri ini menjadi pengimport dan pengeksport terbesar negara, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyalurkan pelbagai bantuan dengan peruntukan berjumlah RM438.6 juta kepada golongan yang memerlukan serta menyantuni 2,647 miskin tegar sepanjang tempoh tersebut.

“Keluarga Diraja Johor turut menyampaikan bantuan untuk bangsa Johor termasuk 20,000 kampit beras, mangsa banjir, kotak makanan, Smart TV dan Smart Board kepada 20 sekolah terpilih, pesakit kanser dan khemah bencana,” katanya menerusi rakaman sebuah video sempena dua tahun perkhidmatannya sebagai Menteri Besar yang dimuat naik di Facebook beliau semalam.

Katanya selain itu kerajaan negeri turut menaik taraf pusat-pusat pelancongan seperti Muzium Diraja Sultan Abu Bakar, Zoo Johor, enam Taman Negara, Taman Eko Rimba, Gunung Berlumut, fasiliti trek pendakian Gunung Lambak di Kluang dan kemudahan awam di Pulau Besar Mersing.

Onn Hafiz berkata pihaknya turut menaik taraf 444 kilometer jalan raya yang antaranya membabitkan Jalan Pasir Gudang, Jalan Mersing-Kota Tinggi dan Jalan Muar-Labis, serta melancarkan aliran trafik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), menerusi kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mengaktifkan laluan kontra untuk kereta dan pejalan kaki.

Enam projek sakit dan satu terbengkalai juga berjaya diselesaikan yang melibatkan melibatkan sebanyak 1,073 unit rumah dengan nilai hartanah RM260 juta, selain 4,278 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) siap dibina dengan pemberian baucer RMMJ bernilai RM1,000 kepada 2,000 penerima.

”Sebanyak 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan tujuh RSK (Rumah Sewa Kerajaan) telah diperbaiki, 50 unit rumah untuk golongan e-kasih di 10 daerah serta menaik taraf Sistem Perumahan Negeri Johor,' katanya.

Onn Hafiz berkata pelbagai inisiatif untuk golongan belia dari segi kepimpinan, pendidikan dan sukan telah dilaksanakan antaranya dengan memperluaskan Southern Volunteers ke 667 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pemberian Skim Pinjaman Pelajaran Johor kepada 1,773 mahasiswa.

'Seramai 5,600 mahasiswa pula menerima bantuan Skim Bantuan Pendaftaran, 2,000 penerima bantuan Tabung Latihan Kemahiran Johor, RM700,000 untuk 25 Persatuan Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) anak Johor, Biasiswa Kenangan Dato’ Onn, 400 pelajar program tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tabung Pendidikan Sarjana Permodalan Darul Ta'zim dan Program Baca Lab,' katanya. -Bernama