JOHOR BAHRU: Polis menahan 219 individu termasuk 23 warga asing atas pelbagai kesalahan jenayah harta benda menerusi Op Delta Bersepadu di kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Kulai, bermula 5 Mac hingga Selasa lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata operasi itu memfokuskan pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan, kedai menjual dan membeli barangan lusuh, kedai pajak gadai, kedai menjual dan membeli alat ganti kenderaan serta peralatan elektronik terpakai.

Beliau berkata selain itu, pihaknya turut menyasarkan bekas penjenayah, orang yang dikehendaki dan subjek yang berpotensi untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Susulan itu, kesemua 207 lelaki dan 12 wanita yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 59 tahun itu akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Hasil siasatan yang dijalankan, 77 tangkapan berjaya dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379 KK, Seksyen 457 KK, Seksyen 411 KK, Seksyen 326 KK, Seksyen 426 KK dan Seksyen 186 KK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata 38 tangkapan pula telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952 dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor dan tindakan agresif di bawah peruntukan ini dilaksanakan bagi mengawal kegiatan jenayah melibatkan penagih tegar.

“Operasi terancang seumpama ini akan diteruskan secara agresif sebagai usaha komited polis Johor untuk membanteras kegiatan jenayah demi memastikan negeri ini selamat didiami dan dikunjungi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan kepada balai polis berhampiran atau talian hotline di 019-2792095 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan menghubungi 07-2212999,” katanya. -Bernama