PUTRAJAYA: Seramai 10 penjawat awam termasuk seorang wanita direman selama empat hari bermula hari ini, kerana disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin yang membenarkan permohonan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, mengarahkan kesemua individu berkenaan direman sehingga Sabtu.

Menurut sumber kesemua individu berkenaan berusia diantara 30-an hingga 50-an, ditahan bersama lima lagi individu menerusi Op Samba 2.0 ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan, petang semalam.

“Tangkapan terhadap kesemua individu ini dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM), sejak Isnin minggu lalu.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket, bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain antara tahun 2017 hingga 2023,” katanya.

Susulan penahanan ini, AML SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit serta membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sebelum ini, AML SPRM dilaporkan berjaya menahan 11 individu termasuk lima penjawat awam dan juga individu bergelar Datuk, yang turut direman bagi membantu siasatan.

Difahamkan modus operandi sindiket tersebut termasuk menggunakan khidmat forwarding agent sebagai orang tengah, bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain di sempadan negara, tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Selain itu, sindiket itu juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol, selain terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Pengarah AML SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi, mengesahkan penahanan reman terhadap 10 individu berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, lima individu lain yang turut ditahan dibebaskan dengan jaminan SPRM. -Bernama