KUCHING: Sarawak merekodkan 354 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 22 sempena Aidilfitri bermula 8 hingga 13 April lepas, menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Beliau berkata jumlah itu merupakan peningkatan berbanding 325 kes yang dicatatkan pada Op Selamat 20 sempena perayaan tersebut tahun lepas.

Menurutnya jumlah kematian pula menurun daripada lapan kematian pada 2023 kepada tujuh kematian tahun ini.

“Antara punca peningkatan jumlah kemalangan ialah kecuaian dan kelalaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan mereka.

“Faktor lain adalah faktor jalan dan bentuk muka bumi seperti jalan berlubang. Faktor kenderaan tidak diselenggara dengan baik juga menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mancha berkata sebanyak 8,804 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan pada Op Selamat 22 berbanding 7,316 saman pada Op Selamat 20, tahun lepas.