GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang mengalami jangkitan kuman pada paru-paru, dari Pos Balar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, di sini semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang Muhammad Akmaluddin Said berkata pesakit, Wawa Diana Azni, berusia tiga tahun diiringi ibunya Sariwa Jali, 32, dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW139.

Muhammad Akmaluddin berkata pesawat tersebut berlepas dari Pulau Pinang pada 4.42 petang semalam, sebelum tiba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang untuk terlebih dahulu mengambil dua petugas Kementerian Kesihatan (KKM) pada 5.44 petang.

“Pesawat kemudian berlepas ke Pos Balar dan tiba pada 6.05 petang. Semasa ditemui pesakit berada dalam keadaan bernafas laju dan memerlukan bantuan sokongan oksigen segera.

“Pesakit juga didapati mengalami demam, batuk dan selesema sejak tiga hari lepas, selain kurang selera makan dan kurang aktif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya pesakit kemudian dibawa ke BBP Gua Musang dan tiba di sana pada 6.25 petang, sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.

Muhammad Akmaluddin berkata operasi melibatkan lima anak kapal tersebut selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, pada 7.25 petang.

“Cuaca sepanjang penerbangan ialah hujan di beberapa tempat dan jarak penglihatan yang terhad serta keadaan angin kencang,” katanya. -Bernama