BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 169 saman dan menyita 11 motosikal atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Motosikal di Plaza Tol Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, semalam.

JPJ Pulau Pinang memaklumkan operasi sempena Ops Khas Perayaan itu bagi mengekang kegiatan rempit dan lumba haram di lokasi tersebut yang menjadi lokasi ‘panas’ bagi aktiviti berkenaan.

“Operasi bermula 11.30 malam Ahad hingga 5 pagi (semalam) itu dijalankan bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Majlis Bandaraya Seberang Perai,“ menurut hantaran di Facebooknya hari ini.

Selain itu, pihak JSPT IPD SPU turut mengeluarkan 15 notis saman manakala dua kompaun dan lima notis uji semula kenderaan dikeluarkan JAS.

Antara kesalahan dikesan ialah pengubahsuaian motosikal melampau, tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, tidak pamer pelekat P dan tiada cermin sisi.