GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah memeriksa 1,164 premis sejak pelaksanaan Ops Pantau 2024 yang bermula 12 Mac lepas.

Pengarah KPDN negeri S.Jegan berkata pemeriksaan meliputi lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan aktiviti penjualan secara dalam talian.

“Setakat ini, tiada sebarang aduan diterima oleh KPDN Pulau Pinang berkaitan isu harga di bazar Ramadan dan tindakan terhadap 18 kes yang direkodkan sepanjang Ops Pantau telah dilaksanakan, antaranya melibatkan barang tiruan dan juga bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Jegan berkata pihaknya turut menganjurkan Projek Malaysia Save Food Ramadan 2024 (MySaveFood) bersama Pertubuhan Pemuda GEMA dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang melibatkan 23 sukarelawan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang (IPGKPP) dan Kolej Cosmopoint Pulau Pinang.

Katanya program itu dilaksanakan selama tujuh hari terpilih dalam tempoh bermula 15 sehingga 29 Mac di bazar yang terlibat iaitu Bazar Tapak Pesta Pulau Pinang, Bazar Taman Tun Sardon dan Bazar Bayan Baru.

“Makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan akan dikumpulkan oleh Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dengan bantuan sukarelawan GPS, untuk disalurkan dan diagihkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi yang terbabit,“ katanya. -Bernama