KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 yang diadakan bersekali dengan penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perdana Menteri Ahmad Ammar Othman berkata majlis sambutan itu yang dijadual berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri ini terbuka kepada semua orang dan dijemput hadir,” katanya pada program Temu Bual Radio: Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara terbitan Bernama Radio hari ini.

Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang menyasarkan pengunjung dari Pulau Pinang, Perlis dan Kedah itu bakal berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Ahmad Ammar berkata penganjuran siri kedua Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara itu juga akan mengetengahkan Visi 2030 Pulau Pinang dalam usaha kerajaan negeri itu memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar.

“Inisiatif lain (diketengahkan) adalah mengenai program kesejahteraan rakyat yang dilancarkan Kerajaan Perpaduan bagi usaha membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara juga dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pertandingan e-sukan serta taekwondo dan persembahan hiburan.

Selain itu, katanya aset-aset kerajaan antaranya melibatkan jentera Angkatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut dipamerkan pada program itu.

Program Madani Rakyat 2024 merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.