PUTRAJAYA: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (gambar) hari ini berkata sehingga semalam, sebanyak 5.43 juta individu di seluruh negara telah mengemas kini data masing-masing di dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

Beliau berkata bagaimanapun, penduduk di 4,752 kawasan dikenal pasti tidak mempunyai sebarang pendaftaran di bawah PADU mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

“Penduduk di kawasan ini, walaupun dikenal pasti daripada kalangan B40 dan B60, tidak mempunyai data dalam apa-apa pangkalan bantuan kerajaan sebelum ini.

“Penduduk di lokaliti ini berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program dan bantuan kerajaan yang akan datang,“ katanya dalam sidang media di sini.

Selangor mendahului senarai bagi kawasan yang belum diliputi PADU iaitu 1,282 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (992), Sarawak (765), Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243), Kelantan (228), Kedah (157), Pahang (70), Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (lapan), Perlis (tujuh), Putrajaya (lima) dan Melaka (dua).

Rafizi juga berkata penelitian pengemaskinian PADU di peringkat lokaliti terbabit akan menjadi input bagi memastikan semua kawasan diliputi mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran.

Beliau berkata antara contoh kawasan ialah seperti lokaliti Program Perumahan Rakyat atau perumahan awam, kondominium, pangsapuri, rumah kos rendah, kuarters, rumah kedai, rumah air atau rumah panjang dan rumah sesebuah.

Justeru itu, Rafizi berkata tumpuan Kementerian Ekonomi dan pasukan PADU dalam tempoh dua minggu ini hingga tarikh akhir mengemas kini PADU pada 31 Mac ini ialah mempertingkat pendaftaran individu dan isi rumah terutama meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian.

Selain itu, beliau berkata sesi dialog awam akan diadakan pada 23 Mac di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam bagi memberi penerangan mengenai manfaat PADU serta mendapatkan kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan sebelum akhir bulan ini.

Sesi itu akan dihadiri antaranya oleh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar serta Yang Dipertua (YDP), Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Rafizi berkata pada masa sama, kaunter pendaftaran akan dibuka sepanjang sesi dialog awam bagi membantu orang ramai mendaftar dan mengemas kini PADU.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama, mengumpulkan wakil penduduk dari kawasan berisiko tinggi keciciran untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut,“ katanya.

Mengambil contoh di Kuala Lumpur, beliau berkata kawasan yang lebih ramai penduduk bukan Melayu seperti Seputeh, Segambut dan Bukit Bintang adalah berisiko keciciran kerana tidak menyedari bantuan serta program yang disediakan oleh kerajaan.

Pendekatan sebelum ini ialah individu yang memerlukan bantuan perlu hadir ke agensi berkaitan untuk mengemukakan permohonan tetapi dengan PADU, kerajaan dapat mengenal pasti individu yang layak menerimanya.

Rafizi berkata bermula 31 Mac ini dan seterusnya, data sedia ada serta yang telah dikemas kini dalam PADU akan digunakan sebagai panduan untuk merangka dasar selain menentukan kelayakan individu untuk program kerajaan, bantuan dan subsidi bersasar.

Beliau berkata jika individu tidak mendaftar dan mengemas kini data di dalam PADU, kerajaan akan menggunakan data sedia ada yang diperoleh daripada agensi kerajaan yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini.

PADU yang dilancarkan pada 2 Jan lepas adalah antara komitmen kerajaan untuk membangun dan mewujudkan pangkalan data yang akan menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi kerajaan dalam membuat keputusan berpandukan data tepat selain menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

PADU juga bertujuan membantu kerajaan memperkukuh kemampanan fiskal negara dan memberi ruang untuk melaksanakan reformasi fiskal bagi meningkatkan kecekapan perbelanjaan.-Bernama