KUALA LUMPUR: Pelbagai inisiatif termasuk peruntukan RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera yang diumumkan kerajaan adalah satu langkah tepat pada masanya bagi menjamin kesejahteraan golongan berkenaan dalam keadaan ekonomi ketika ini.

Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mampu meningkatkan taraf hidup bumiputera secara keseluruhan, sekali gus mencipta daya saing yang setaraf dengan kaum lain.

Bagaimanapun, beliau berharap supaya pelaksanaan setiap inisiatif itu dijalankan secara penuh telus, amanah serta berintegriti, malah tindakan yang setimpal perlu diambil sekiranya terdapat mana-mana pegawai culas atau gagal menjalankan tugas mereka.

“Kejayaan program ini bukan terletak pada (tanggungjawab) kerajaan sahaja, tetapi ia juga dipikul bersama oleh agensi berkaitan dan pegawai-pegawai mereka, ahli-ahli korporat yang berjaya dan juga Dewan Perniagaan Melayu serta koperasi-koperasi.

“Diharap juga usahawan yangg mendapat akses kepada pelbagai jenis kemudahan seperti pinjaman dan geran juga akan dibuat pemantauan yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya semalam, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera, antaranya kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Selain itu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu.

Perdana Menteri turut mengumumkan kerajaan akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan pembangunan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, dan TEKUN Nasional bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan bumiputera termasuklah wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck (trak makanan).

Menyifatkan bahawa penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI sebagai langkah di luar jangkaan, Abu Sofian berkata ini adalah kali pertama seorang Ketua Negara menerajui satu program besar dengan melibatkan penduduk majoriti Malaysia.

“Dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai penaung (Tabung Wakaf MARA MADANI), maka sifat integriti pegawai-pegawai pelaksana akan berada pada tahap tertinggi sekali. Namun, untuk memastikan program ini berjaya, perlu ada ‘check point’ (semakan) dan audit berterusan supaya tidak ada ‘lagging’ (kelewatan) atau ‘weak link’ (kelemahan) yang menarik program ini daripada meluncur ke hadapan,“ katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata Tabung Wakaf MARA MADANI mempunyai matlamat yang bagus, namun beliau mencadangkan kerajaan hanya menggunakan hasil pendapatan daripada jumlah pokok atau dana asal tabung wakaf berkenaan dalam usaha membangunkan rakyat bumiputera antaranya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan.

“Perlu diingatkan apabila mewujudkan satu wakaf maknanya, pokoknya (dana asal) tidak boleh digunakan tetapi yang boleh digunakan hanyalah pendapatan daripada pokok itu.

“RM100 juta perlu disimpan dan dilabur menjadi RM1 bilion nanti, kemudian jumlah itu (RM1 bilion) juga perlu dilaburkan dan pendapatan daripada pelaburan itu barulah boleh digunakan untuk inisiatif membangunkan usahawan atau kumpulan bumiputera.

“Hasil pendapatan daripada pelaburan inilah yang harus digunakan untuk bantu golongan usahawan mikro tingkat pendapatan, aspek pendidikan rakyat bumiputera dan sebagainya,“ kata Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak itu.

Barjoyai juga berpendapat kerajaan perlu mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah geran peluncuran itu bagi memperoleh jumlah dana terkumpul yang lebih tinggi. -Bernama