GERIK: Kerinduan anggota tentera untuk beraya di kampung sedikit terubat apabila Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut berkongsi kemeriahan Aidilfitri di Markas Taktikal 749, Kem Sri Banding di sini hari ini.

Kehadiran beliau dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kem itu adalah untuk menyambut perayaan tersebut bersama 539 anggota terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat (LLP) terutama mereka yang bertugas di kawasan Op Kota Echo/Foxtrot.

Muhammad Hafizuddeain dalam ucapannya mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terbabit dalam operasi itu agar memberikan komitmen tinggi terhadap tugasan yang diamanahkan.

“Menjadi tanggungjawab setiap anggota tentera mengutamakan tugas diamanahkan mengatasi segalanya demi menjaga keselamatan negara.

“Semua lapisan anggota harus sentiasa bersikap profesional dalam menentukan tahap keselamatan dan kesiagaan di persempadanan negara sentiasa terjamin pada setiap masa,“ katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri.

Muhammad Hafizuddeain turut melahirkan penghargaan kepada perajurit yang tetap bertugas dalam operasi bagi menjaga keselamatan negara ketika rakyat menyambut Aidilfitri.

“Kepada anggota yang beroperasi, saya ucapkan syabas kepada saudara sekalian kerana kental dan terus cekal untuk melaksanakan tugas dalam kesibukan orang lain menyambut hari raya bersama keluarga.

“Ini perkara yang lumrah atau kelaziman bagi kita yang berkhidmat dalam angkatan tentera,“ katanya.

Terdahulu beliau turut menyampaikan beg dan bungkusan Aidilfitri kepada anggota tentera yang sedang bertugas.

Muhammad Hafizuddeain turut berkesempatan melakukan tinjauan di Forward Operating Base (FOB) November dalam memastikan keselamatan sempadan daratan Malaysia-Thailand sentiasa pada tahap mampu beroperasi.