JAKARTA: Pasukan penyelamat meningkatkan usaha mencari dua lagi mangsa tanah runtuh di Sulawesi Selatan yang meragut 18 nyawa Sabtu lepas, menurut Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB).

Operasi mencari diteruskan pada hari kedua, dengan penyertaan penduduk tempatan selepas dihentikan pada Ahad berikutan cuaca mendung dengan hujan renyai-renyai selain risiko berlaku lebih banyak tanah runtuh.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata dua individu yang hilang itu dari Daerah Kecil Makale, Tana Toraja di mana 14 orang ditemukan maut sebelum ini.

“Di Daerah Kecil Makale Selatan, angka korban meningkat kepada empat orang selepas seorang mangsa yang hilang ditemukan sudah meninggal dunia,” katanya dan menambah 77 orang yang terselamat mendapatkan perlindungan di sebuah bangunan gereja terdekat.

BNPB Tana Toraja melaporkan kerugian harta benda termasuk enam rumah di Makale dan sebuah di Makale Selatan yang ditimbus tanah dan puing dalam bencana yang berlaku pada pukul 7 malam waktu tempatan.