SEREMBAN: Seorang pegawai Baitulmal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan suapan membabitkan kerja pembekalan kepada asnaf, empat tahun lalu.

Mohd Hasbollah Ahmad, 36, yang bertugas di Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hasbollah didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan iaitu mengesahkan permohonan sebuah syarikat yang melaksanakan kerja pembekalan cenderahati bagi program bantuan Hari Raya kepada asnaf di sekitar Kuala Pilah.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Baitulmal Daerah Kuala Pilah pada 5 Jun 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.

Mohd Hasbollah turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang berjumlah RM4,178 kepunyaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan di lokasi sama pada Jun 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dengan sebat serta denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan dan menetapkan 24 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hasryzal Badasary. -Bernama