ALOR GAJAH: Masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di Durian Tunggal menyebabkan mereka resah setiap kali hujan lebat kerana rumah berisiko dinaiki air selain perlu bersiap sedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Suri rumah, Hazirah Shamsudin, 42, dari Kampung Bukit Balai berkata dia berdepan situasi banjir itu sekurang-kurangnya tiga kali setahun berikutan rumahnya terletak bersebelahan Sungai Durian Tunggal.

“Setiap kali sambutan Aidilfitri saya tidak terfikir untuk menghias rumah seperti orang lain... pada minggu lepas ketika sedang berhari raya di rumah kenalan, rumah saya dimasuki air hingga paras lutut.

“Kami sememangnya tabah dengan ujian ini, namun sekiranya diberi pilihan untuk berpindah ke tempat lain kami reda kerana tidak sanggup berdepan dengan masalah banjir berulang kali,“ katanya kepada pemberita di rumahnya di kampung berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu Hazirah menerima kunjungan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Program Penyerahan Sumbangan Kecemasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa bencana banjir dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal Zahari Abd Kalil.

Siti Khadijah Noordin, 42, yang terharu atas keprihatinan Perdana Menteri memberikan sumbangan RM500 kepada setiap penerima itu berharap hasratnya untuk berpindah ke rumah lain yang lebih selamat menjadi kenyataan.

Menurut Siti Khadijah dia pernah berdepan 24 kali situasi banjir di rumahnya dalam setahun dan kerap kali dipindahkan ke PPS, selain tidak tahu sampai bila akan melalui situasi itu lebih-lebih lagi dengan keadaan ibunya yang semakin berusia.

“Kalau dapat berpindah memang saya sangat bersyukur, sekiranya perlu bayar rumah baharu itu pun, kami akan usahakan bayaran secara ansuran bulanan kerana itu sahaja cara yang kami mampu,“ katanya.

Bagi Fauziah Samat, 46, dia bersyukur atas sumbangan terbabit selepas rumahnya dinaiki air dua kali pada minggu lepas.

Banjir berulang itu, katanya menyebabkan dia terpaksa membuang sebahagian pakaian kerana dipenuhi lumpur.

“Sekurang-kurangnya dengan sumbangan ini dapatlah saya beli keperluan yang lebih penting, terima kasih Perdana Menteri atas keprihatinan membantu kami,“ katanya.