KUALA LUMPUR: Perjanjian operasi (OA) antara Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan kerajaan yang dimeterai baru-baru ini dilihat dirancang dengan baik untuk melindungi pendapatan dan aliran tunai MAHB, kata Maybank Investment Bank Bhd.

Menurut firma penyelidikan itu, tiga perkara yang menarik perhatian dalam OA itu termasuk MAHB akan diberi pampasan sepenuhnya jika caj perkhidmatan penumpang (PSC) dikurangkan pada masa hadapan.

“Kadar yuran pengguna (13.1 peratus daripada hasil lapangan terbang Malaysia pada tahun kewangan 2023) boleh disemak setiap tiga tahun dan bukannya dinaikkan secara konsisten sebanyak 25 mata asas setahun.

“Selain itu, 50 peratus daripada yuran pengguna yang dikenakan ke atas PSC akan disalurkan kepada Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF) yang dikawal oleh kerajaan,” katanya dalam satu nota.

Maybank IB berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengeluarkan satu lagi kertas rundingan yang akan menjadi garis panduan model Pangkalan Aset Terkawal (RAB) dan bakal digunakan oleh MAHB mulai 1 Jan 2027.

“Dengan itu kami mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM8.91,“ katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata OA berkenaan dilihat akan mengukuhkan kedudukan MAHB di Malaysia dengan jaminan pendapatan untuk 35 tahun akan datang.

“MAHB akan mendapat manfaat daripada hasil caj perkhidmatan lapangan terbang yang lebih tinggi (termasuk PSC) dan aliran tunai, sambil mendapat manfaat daripada pemulihan perjalanan udara dan menambah baik campuran penumpang antarabangsa (tarif penumpang dan kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi).

“Kami menjangkakan MAHB mencatatkan pendapatan lebih kukuh dalam tahun kewangan 2024-2025,” katanya.

HLIB mengekalkan pengesyoran “beli” namun dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM10.25 (daripada RM9.80) untuk MAHB.

“MAHB juga kini boleh berunding semula dengan kerajaan berhubung caruman yuran pengguna (setiap kitaran tiga tahun) untuk diperuntukkan semula bagi tujuan pembangunan lapangan terbang yang diperlukan,” katanya.

Pada 18 Mac, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan MAHB menandatangani OA baharu selama 45 tahun sehingga 11 Feb 2069.

Menerusi OA itu, pengendali lapangan terbang itu akan terus mengendalikan, mengurus, menyelenggara dan membangunkan 39 lapangan terbang dan STOLports (lapangan terbang landasan pendek) di seluruh negara. -Bernama