PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat percetakan dijatuhi hukuman denda RM8,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah tidak mematuhi syarat-syarat lesen untuk mencetak atau menerbitkan Teks al-Quran, bulan lepas.

Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhkan hukuman itu terhadap Pengarah Syarikat Tihani Cetak Sdn Bhd Muhammad Hatim Ab Wahab, 34, kerana tidak mematuhi syarat-syarat lesen untuk mencetak atau menerbitkan Teks al-Quran yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan membenarkan 3,800 naskhah al-Quran dijilid oleh Hua Mei Industry Sdn Bhd yang merupakan syarikat dimiliki orang bukan beragama Islam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang milik Hua Mei Industry di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada 3.05 petang, 7 Mac lepas mengikut Seksyen 5(7) Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Farah Azura menasihatkan tertuduh supaya lebih peka dengan sensitiviti berhubung pencetakan al-Quran.

“Awak sebagai orang Islam perlu tahu sensitiviti masyarakat mengenai perkara ini (cetak al-Quran) dan sebagainya...awak ada kuasa untuk cetak...jadi awak kena tahu siapa yang boleh buat kerja berkaitan dengan al-Quran,“ katanya.

Sementara itu, Pengarah syarikat Hua Mei Industry Sum Yew Hom, 41, didenda RM8,000 atau lima bulan penjara oleh mahkamah sama kerana membantu dalam pencetakan Teks al-Quran dengan cara menjilid 3,800 naskhah Teks al-Quran tanpa lesen yang dikeluarkan oleh LPPPQ.

Kesalahan itu dilakukan di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 5(1) Akta Pencetakan Al-Quran 1986 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(6) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Berdasarkan fakta kes, pihak berkuasa telah membuat rampasan melibatkan 3,800 al-Quran kerana didapati pencetakannya tidak mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan LPPPQ iaitu dengan membenarkan naskhah al-Quran itu dijilid oleh sebuah kilang milik orang bukan beragama Islam.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa KDN Selangor Surieyani A Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu untuk hukuman ringan dengan alasan kesalahan itu merupakan kesalahan pertama.