JOHOR BAHRU: Pengendali dan operator bas MyBas Johor Bahru digesa agar memperbanyakkan lagi perkhidmatan ‘Park & Ride’ (parkir dan kemudian mengambil pengangkutan awam) dalam usaha mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pengendali serta operator bas juga boleh menyediakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu.

Beliau berkata antara yang boleh dilakukan adalah bekerjasama dengan pemilik parkir seperti menawarkan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa meletakkan kenderaan di pusat bandar.

“Kita juga boleh fikirkan untuk menyediakan pas parkir bulanan yang harganya lebih rendah berbanding parkir harian...bagi pemilik parkir pusat membeli-belah atau pasar raya pula, inisiatif tertentu yang lain boleh diwujudkan.

“Bagi pengendali dan operator bas pula, mereka perlu memastikan perkhidmatan yang baik serta selesa kepada penumpang, selain bas yang beroperasi dapat menepati masa,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Semalam Mohamad Fazli melancarkan perkhidmatan ‘Park & Ride’ bagi perjalanan MyBas Johor Bahru T14, yang menghubungkan pusat membeli-belah Toppen di Tebrau ke Johor Bahru Sentral.

Beliau berkata perkhidmatan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri iaitu warganegara Malaysia hanya perlu membayar RM50 untuk 30 hari.

“Setiap warganegara hanya perlu mendaftarkan kad pengenalan mereka untuk menikmati faedah ini dan boleh menggunakannya di mana-mana perkhidmatan MyBas Johor Bahru tanpa had.

“Pihak kerajaan negeri juga dalam usaha untuk memperbanyakkan lagi perkhidmatan ‘Park & Ride’ ini, selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam di Johor Bahru,“ katanya.

Mohamad Fazli berkata konsep itu juga diguna pakai menerusi perkhidmatan Bas Muafakat Johor (BMJ) yang kini masih dalam pemantauan.

Tambahnya perkhidmatan BMJ membabitkan perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mengurangkan kesesakan parkir di kedua-dua hospital itu.