SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Mei depan untuk pengurusan kes rayuan pendakwaan terhadap penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman (gambar) yang dibebaskan daripada tiga pertuduhan dadah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 Nov 2023.

Penolong Kanan Pendaftar Azmi Aman dalam pengurusan kes hari ini menetapkan demikian bagi membenarkan pelantun lagu Mimpi Laila itu melantik peguam sebelum menjalankan prosiding rayuan selepas ini, dan membolehkan Muhammad Yasin tidak perlu hadir ke mahkamah.

“Pada 24 Mei itu juga mahkamah akan serahkan rekod rayuan dan langkah seterusnya yang hanya akan boleh dimaklum pada tarikh berkenaan,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim mewakili pihak pendakwaan selaku perayu bagi prosiding hari ini.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 Nov tahun lepas melepas dan membebaskan Muhammad Yasin, 49, daripada tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya pada Mac 2022, namun Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Sementara itu Muhammad Yasin ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau akur dan bersedia mengikuti perintah ditetapkan Mahkamah Tinggi walaupun beranggapan proses itu akan membuang masa dan tenaga.

Beliau berkata kesemua perkara sudah dikemuka dan diperjelaskan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya sebelum dia dilepas dan dibebaskan.

“Saya percaya Mahkamah Tinggi akan mendapati keputusan Mahkamah Sesyen itu adalah tepat, benar, tiada apa yang tertinggal atau khilaf, kontradiktif dan sebagainya,” katanya.